Thursday, 2 July 2026

PRN JOHOR: SIAPA TIKAM SIAPA? BN DEKATI PAS, PH DITINGGALKAN, MCA DAN MIC BAKAL HILANG UNDI

 


Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini memperlihatkan landskap politik yang jauh lebih rumit berbanding pilihan raya terdahulu. Walaupun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, kedua-dua gabungan memilih untuk bertembung secara langsung di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Di pentas rasmi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan jentera BN dan PH supaya tidak saling menyerang sepanjang kempen. Kenyataan itu dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian hubungan antara kedua-dua gabungan meskipun bersaing merebut mandat rakyat.

Namun, perkembangan di lapangan mula mencetuskan pelbagai persoalan politik.

Beberapa program yang melibatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menyaksikan kehadiran pemimpin serta ahli jawatankuasa PAS. Dalam masa yang sama, Presiden UMNO sendiri secara terbuka mengalu-alukan sokongan PAS kepada calon-calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).


Program Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Parlimen Batu Pahat oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, pada 30 Jun 2026 di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit yang turut dihadiri Datuk Johan Abdul Aziz, Ketua UMNO Bhg. Hulu Langat dan Mislan Samian, AJK PAS Kawasan Batu Pahat