Friday 24 September 2021

GUAN ENG SERING BERJUMPA ZARUL PROJEK TEROWONG – FARIDA HANI SETIAUSAHA SULIT

Zarul dan Guan Eng sering bertemu

Mahkamah Sesyen pada 23 September diberitahu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertemu Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, bagi membincangkan perkembangan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Bekas Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani Yacob, dalam keterangannya berkata, pertemuan dengan Zarul yang juga pemilik syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) itu sering diadakan di Pejabat Ketua Menteri di Bangunan KOMTAR.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata, beliau mula mengenali Zarul sejak media mula melaporkan tentang projek terowong di Pulau Pinang sebagai pemilik CZBUCG, berdasarkan keadaan pada masa itu serta maklumat pegawai.

"Seingat saya, pertemuan yang disusun membabitkan temu janji antara Zarul dan Guan Eng kurang daripada lima kali.

"Sekiranya Zarul datang ke pejabat Ketua Menteri, beliau akan terus ke bilik mesyuarat atau bilik VIP tanpa melalui bilik saya," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan yang dihadapi Guan Eng.

Ooi Bok Thian - WCT Construction Sdn Bhd

Sementara itu seorang lagi saksi, Pengurus Besar WCT Construction Sdn Bhd, Ooi Bok Thian, 49, berkata walaupun syarikatnya mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut, namun markah penilaian teknikal dan kewangan bagi projek hanyalah sebanyak 59.

Sebaliknya, Bok Thian, berkata syarikat CZBUCG mendapat markah tertinggi sebanyak 93 bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

"Markah kedua tertinggi ialah China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd sebanyak 77," katanya.

Beliau berkata, WCT menjalankan usaha sama dengan Kumpulan Daewoo kerana syarikat itu terbabit dalam projek mega pembinaan terowong dasar laut di Korea Selatan.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.


Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara di antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan, iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri, wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan, bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan, iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, di antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 


No comments:

Post a Comment

TERKINI: SENARAI PENUH KABINET MALAYSIA