Friday 8 December 2023

JANGAN ASYIK BUAT ALASAN, PERCEPATKAN PROJEK RAKYAT SABAH- ANWAR IBRAHIM



Siapa juga menjadi Kerajaan Persekutuan dan Negeri isu yang sama akan tetap berlaku iaitu kelewatan melaksana projek. Dapat berbiliob ringgit setiap tahun jika Kementerian dan agensi negeri gagal melaksana projek maka dana akan dipulangkan kembali kepada pusat. 

Projek mega seperti Pan Borneo, empangan hidroelektrik dan loji air menelan perbelanjaan yang sangat tinggi.

BERITA PENUH::

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa supaya pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan, tanpa ada sebarang alasan lagi.

Beliau berkata penegasan itu perlu dilakukan kerana terdapat projek-projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di Sabah tertangguh, antaranya Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang mampu memberi bekalan elektrik dan air yang selesa untuk rakyat.


“Projek tertangguh antaranya menyebabkan dua kesan iaitu kos meningkat dan kesan kepada harapan rakyat untuk memperoleh kemudahan terutama untuk mendapatkan kemudahan bekalan elektrik dan air. Contohnya empangan ini, pastikan supaya ada perlaksanaan dan pemantauan supaya tiada alasan untuk lengahkan.

“…tekad ini amat kritikal, mendesak untuk rakyat, siapkan lebih cepat dan beri keselesaan kepada rakyat. Itu sikap kita mesti ada sekarang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas.

Turut hadir Ketua Menteri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali, dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) Annuar Ayub.

Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 billion mempunyai kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt.

Empangan yang mempunyai kawasan tadahan 1,905 kilometer persegi itu dibangunkan UPP Holdings Sdn Bhd, dan ditubuhkan hasil kerjasama strategik SEC sebuah anak syarikat kerajaan negeri Gamuda Berhad dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

Anwar berkata selain empangan itu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengambil masa lama disiapkan, antara lain disebabkan isu kontraktor dan campur tangan keputusan politik, dan ia perlu diselesaikan segera bagi memberikan kemudahan pengangkutan terbaik untuk rakyat.

“Kita pastikan urusan kontraktor lebih telus. (Lebuh raya) Pan Borneo ini sudah puluhan tahun, hampir siap di Sarawak. RM15 billion untuk projek ini bukan murah, saya minta Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) membuat pemantauan dan bagi kuasa untuk segerakan,” katanya.

Beliau berkata selain untuk rakyat, kemudahan asas itu juga penting dalam usaha menarik masuk lebih ramai pelabur dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan, sesuai dengan keperluan pelaburan terbabit.

 


No comments:

Post a Comment