Friday 3 May 2024

TITAH ADENDUM PENGAMPUNAN NAJIB RAZAK: PERMOHONAN TENGKU ZAFRUL FAIL AFIDAVIT DITOLAK KERANA BUKAN WAKIL MANA-MANA PIHAK

 

Mahkamah Tinggi semalam (2 Mei) menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, untuk kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihaknya terhadap permohonan dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri terbabit.

Beliau berkata, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tidak mewakili mana-mana pihak dan afidavit yang ingin difailkan itu seolah-olah 'terapung'.

"Tiada prosedur, maka hakim menolak permohonan itu. Namun, jika (Najib) mendapat kebenaran (semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum), beliau (Tengku Zafrul) boleh memfailkan kembali (kebenaran fail afidavit).


"Tengku Zafrul mungkin tidak akan berbuat demikian lagi, tetapi tidak rugi untuk mencuba. Alasan sama majlis peguam tidak dibenarkan mengikuti kes itu kerana ia adalah 'ex-parte' (sebelah pihak).

"Macam mana boleh cakap pendengaran dibuat secara rahsia? Kalau lihat Arahan 53, ia mengatakan 'ex-parte' iaitu pendengaran secara dalam kamar (tertutup) dan bukan secara rahsia," katanya ketika ditemui media selepas prosiding berkenaan.

Pihak pembelaan Tengku Zafrul sebelum ini dilaporkan berkata, afidavit diikrarkan Ahli MKT UMNO itu adalah untuk menangani secara khusus pengataan terkandung dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.

Menurutnya, ia berikutan terdapat fakta didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Pada 17 April lalu, 'saksi kritikal' yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum disahkan ialah Ahmad Zahid.

Pada tarikh sama, Amarjeet menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Ahmad Hanir Hambaly, ketika ditemui memaklumkan hakim menolak permohonan itu atas alasan tiada peruntukan undang-undang untuk Tengku Zafrul memasukkan afidavitnya ketika ini.

"Tengku Zafrul boleh mencuba semula (untuk memasukkan afidavit) sekiranya mahkamah membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Najib," katanya.

 

No comments:

Post a Comment