Mahkamah
Tinggi semalam (2 Mei) menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul
Aziz, untuk kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa
tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah
Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Peguam
bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet
Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihaknya terhadap
permohonan dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri terbabit.
Beliau
berkata, Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tidak
mewakili mana-mana pihak dan afidavit yang ingin difailkan itu seolah-olah
'terapung'.
"Tiada
prosedur, maka hakim menolak permohonan itu. Namun, jika (Najib) mendapat
kebenaran (semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum), beliau (Tengku
Zafrul) boleh memfailkan kembali (kebenaran fail afidavit).
"Tengku
Zafrul mungkin tidak akan berbuat demikian lagi, tetapi tidak rugi untuk
mencuba. Alasan sama majlis peguam tidak dibenarkan mengikuti kes itu kerana ia
adalah 'ex-parte' (sebelah pihak).
"Macam
mana boleh cakap pendengaran dibuat secara rahsia? Kalau lihat Arahan 53, ia
mengatakan 'ex-parte' iaitu pendengaran secara dalam kamar (tertutup) dan bukan
secara rahsia," katanya ketika ditemui media selepas prosiding berkenaan.
Pihak
pembelaan Tengku Zafrul sebelum ini dilaporkan berkata, afidavit diikrarkan
Ahli MKT UMNO itu adalah untuk menangani secara khusus pengataan terkandung
dalam Afidavit Tambahan No 3 yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid yang juga
Timbalan Perdana Menteri pada 9 April lalu.
Menurutnya,
ia berikutan terdapat fakta didakwa tidak tepat yang perlu diperbetulkan
menurut bidang kuasa sedia ada mahkamah dan Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-kaedah
Mahkamah 2012.
Pada
17 April lalu, 'saksi kritikal' yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong
permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan
Titah Adendum disahkan ialah Ahmad Zahid.
Pada
tarikh sama, Amarjeet menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan itu
supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam
tahun di rumah.
Menerusi
afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu
berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul
ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30
Januari lalu.
Najib,
70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi
Tetuan Shafee & Co.
Beliau
menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara,
Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan
Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan
Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM
dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Sementara
itu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Ahmad Hanir
Hambaly, ketika ditemui memaklumkan hakim menolak permohonan itu atas alasan
tiada peruntukan undang-undang untuk Tengku Zafrul memasukkan afidavitnya
ketika ini.
"Tengku
Zafrul boleh mencuba semula (untuk memasukkan afidavit) sekiranya mahkamah
membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Najib,"
katanya.
No comments:
Post a Comment