Wednesday, 22 April 2026

[VIDEO] ] SELEWENG DANA ZAKAT RM230 JUTA: TIGA DITAHAN, ASET MEWAH DISITA, AKAUN RM120 JUTA DIBEKU



KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana zakat bernilai kira-kira RM230 juta.



Menurut sumber, dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang antara jam 3 hingga 5 petang hari ini, manakala seorang lagi suspek berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor sekitar jam 2 petang.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek, termasuk dua daripadanya pengarah syarikat, dipercayai bersubahat melakukan penyelewengan tersebut dalam tempoh antara 2018 hingga 2024.


Lebih membimbangkan, timbalan pengerusi NGO berkenaan disyaki memindahkan dana zakat tersebut ke akaun syarikat miliknya sebelum digunakan bagi tujuan pelaburan dan kepentingan peribadi.

Difahamkan, NGO yang dikaitkan dalam siasatan ini ialah Pertubuhan IKRAM Malaysia, yang sebelum ini terlibat dalam pelaksanaan projek kutipan zakat di negeri Perlis serta beberapa inisiatif berkaitan kutipan dan agihan zakat di peringkat lebih luas.

Dalam struktur yang diluluskan oleh pihak berkuasa agama negeri, NGO terbabit didakwa berperanan sebagai ejen kutipan dan pada masa sama menerima peratusan tertentu daripada hasil kutipan — dengan anggaran komisen sehingga 50 peratus bagi tujuan agihan di bawah kategori asnaf tertentu. Walaupun model ini dibenarkan dari sudut pentadbiran, siasatan kini meneliti sama ada mekanisme tersebut telah disalah guna.

Kes ini sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap integriti pengurusan dana awam, memandangkan sumbangan zakat melibatkan amanah masyarakat yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan tangkapan tersebut ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut menyita pelbagai aset mewah dipercayai berkait dengan hasil penyelewengan.

Antara yang dirampas termasuk 18 kenderaan mewah seperti Porsche dan Mercedes-Benz, selain hartanah dan kediaman dianggarkan bernilai kira-kira RM11 juta. Turut disita ialah pelbagai harta alih termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.



Selain itu, sebanyak 33 akaun bank dengan jumlah keseluruhan sekitar RM120 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan lanjut.

Siasatan kini memberi tumpuan kepada kemungkinan wujudnya rangkaian lebih luas melibatkan penyalahgunaan dana awam melalui platform kebajikan dan kutipan zakat.

ARTIKEL BERKAITAN  SEJAK 2017

MUFTI PERLIS TIDAK DISAMBUNG KONTRAK KERANA SKANDAL ZAKAT IKRAM UNTUK DANA PEMBANGKANG?

NGO AL QAYYIM DISIASAT SPRM: MAMPUKAH REKOD PENYATA AKAUN IQ DARI ZAKAT PERLIS DISEMBUNYIKAN?


No comments:

Post a Comment