Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 baru-baru ini yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan ketirisan dan kelemahan tadbir urus melibatkan pelbagai entiti kerajaan dengan nilai keseluruhan projek yang diaudit mencecah RM48.87 bilion.
Antara penemuan utama yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi ialah tiga ketidakaturan serius:
-
FELCRA Berhad: Didapati berlaku kelemahan tadbir urus dalam perolehan pajakan ladang sawit di Sabah dan Kelantan bernilai RM241.76 juta.
-
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): Berlaku ketidaktelusan dalam perolehan tiga tender bernilai RM58.45 juta, termasuk pemilihan syarikat yang tidak disyorkan oleh panel penilai.
-
Tentera Darat Malaysia: Pembekalan dan perkhidmatan kenderaan perisai lewat dihantar dengan denda tidak dikutip berjumlah RM162.75 juta, manakala perolehan bernilai RM107.54 juta dibuat secara pecah kecil untuk elak proses semakan.
Laporan turut membangkitkan isu sistemik seperti:
-
Pengurusan subsidi minyak masak yang lemah dan membuka ruang penyelewengan.
-
Kaedah baharu perolehan "Pre-Qualification Terpilih" yang mudah dimanipulasi serta melambatkan proses tender.
Ketua Audit Negara turut memaklumkan bahawa pindaan terhadap Akta Audit 1957, yang berkuat kuasa tahun lalu, membolehkan tindakan susulan diambil lebih cepat, termasuk melalui platform Auditor General’s Dashboard (AGD).
Dalam tempoh 2024 hingga Jun 2025, hasil tindakan audit telah membantu kerajaan memulihkan RM157.73 juta, antaranya melalui kutipan tunggakan, denda dan sewa tidak dibayar.
Sebagai sebahagian daripada reformasi institusi, sistem eSelfAudit turut diperkenalkan dan bakal digunakan untuk memantau 1,856 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setiap tahun mulai 2025.
Orang ramai boleh menyemak kandungan penuh LKAN 2/2025 di laman rasmi Jabatan Audit Negara: www.audit.gov.my.